Rukyah
(Jampi) dalam Perubatan Tradisional Melayu sebagai Rawatan Penyakit,
Pencegahan,
Pendinding Diri dan Harta: Kehebatan dan
Sumbangan
Ilmuwan Nusantara
Abstrak: Masyarakat primitif
secara tradisinya berfahaman animisme dan dinamisme iaitu kepercayaan
kepada tenaga dan kekuatan
roh, jiwa dan semangat terjelma dalam diri manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, benda-benda
yang boleh mendapat kesan baik atau buruk kepada manusia. Selalunya, kelompok
masyarakat ini mempercayai wujudnya makhluk ghaib yang boleh mengganggu dan
menakutkan mereka. Masyarakat Melayu sebelum datang agama Islam seperti
masyarakat primitif lain percaya wujudnya kekuatan dan pengaruh alam dalam
kehidupan mereka. Seterusnya, ia membawa kepada kepercayaan tentang kepentingan
hubungan antara manusia dengan alam dalam pelbagai aspek kehidupan manusia
termasuk kesihatan dan kesejahteraan. Didapati, amalan rukyah telah diamalkan
oleh masyarakat Melayu-Muslim semenjak kedatangan Islam ke Nusantara pada kurun
ke-9 lagi. Manakala amalan jampi berasaskan kepada fahaman animisme-dinamisme
telah diamalkan oleh masyarakat Melayu semenjak kerajaan Srivijaya (650-1200).
Sehubungan itu, usaha akan
diambil dalam makalah ini untuk mengulas dan menjelaskan sumbangan ilmuan Nusantara
dalam perubatan tradisional Melayu terutamanya berkaitan rukyah (Jampi).
Khususnya, sumbangan-sumbangan yang telah diterbitkan dan seterusnya disebarkan
secara meluas di alam Melayu terutamanya di Malaysia. Keutamaan akan diberi
kepada tulisan berkaitan dengan ruqyah (jampi) yang mana ia adalah sebahagian
daripada perubatan Islam dan perubatan tradisional Melayu
PENGENALAN
Ruqyah dalam Hadith Nabi
Muhammad S.A.W: Perubatan Islam merupakan satu sistem perubatan yang
bersumberkan kepada al-Qur’an dan Sunnah. Ia telah diamalkan semenjak zaman
Nabi Muhammad S.A.W dan dikenali dengan perubatan Nabi. Melalui komentar Sahih
of al-Bukhari iaitu Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari oleh Ahmad b. Ali Ibn
Hajr al-Asqalani (d. 852/1449) dan Umdat al-Qari Sharh Sahih al-Bukhari oleh
Abu Muhammad Mahmud Ahmad al-‘Ayni (d. 855/1452), perubatan Islam melalui
ruqyah dapat diketahui dalam pelbagai buku hadith antaranya ialah Sahih
Bukhari. Imam Bukhari dalam Sahih alBukhari telah menyenaraikan hadith-hadith berkaitan
ruqyah dalam beberapa bab. Antaranya ialah: Bab al-Ruqa bi al-Qur’an wa
al-Mu’awwizat; Bab al-Ruqa bi Fatihat al-Kitab); Bab al-shurut fi alruqyah bi
fatihah al-kitab); Bab ruqyah al-’ayn; Bab al’ayn haqq; Bab ruqyah al-hayyah wa
al-uqrab; Bab al-nafth fi al-ruqyah); Bab mash al-raqi al-waj’ biyadihi
al-ymna); Bab al-mar’ah tarqa al-rajl); dan Bab man lam yarqa.
Ruqyah: Satu Kaedah Rawatan
dalam Islam: Ibn Hajar al-‘Asqalani telah menjelaskan kaedah pengubatan yang
dilakukan oleh Rasullullah S.A.W antaranya ialah kaedah Jasad atau Tibb Jasad (pengubatan
jasad) dan Kaedah Rohani atau Tibb alQalb (pengubatan hati). Tibb Jasad atau
pengubatan
jasad adalah pengubatan secara
fizikal yang bersifat semulajadi. Sebagaimana Sabda: Dari Sa’id bin Jubair,
dari Ibnu Abbas, dari Nabi S.A.W, baginda bersabda maksudnya, “kesembuhan
(pengubatan) itu terletak pada tiga kaedah: meminum madu, berbekam dan
pemanasan dengan api. Tetapi aku melarang umatku mengubat dengan kaedah pemanasan
dengan api.” (Riwayat Bukhari).
Manakala, Tib al-Qalb atau
pengubatan hati pula ditakrifkan sebagai pengubatan dengan doa dan bacaan-bacaan
tertentu daripada al-Qur’an atau sunnah atau yang disusun oleh pada ulama ahli perubatan
yang disebut Ruqiyyah. Daripada Hadith: Dari Abi Khuzamah bahawa katanya kepada
Rasulullah SAW, “Ya Rasullullah! Bagaimana pendapatmu tentang melafazkan kata-kata
doa (ruqiyyah) untuk memohon kesembuhan, kami bacakan ruqiyyah (jampi) itu dan
tentang ubat yang kami pergunakan untuk mengubati penyakit serta tentang
kata-kata doa untuk mohon perlindungan dan pemeliharaan (taqiyyah), lalu kami
bacakan taqiyyah itu (untuk diperdengarkan kepada Rasullullah SAW). Tidakkah
hal itu bererti menolak takdir (ketentuan) Allah? Maka Rasullullah S.A.W
menjawab: Hal itu juga termasuk takdir Allah” (Riwayat Ahmad dan Tirmizi).
Dalam masyarakat Melayu-Islam,
pengamalan ruqyah (jampi) adalah lebih kepada pencegahan dan rawatan penyakit
serta sebagai pendinding diri daripada gangguan makhluk halus iaitu jin dan syaitan.
Al-Qur’an ada menyebut tentang kewujudan makhluk halus seperti syaitan
(syayatin), jin (jinnah) dan iblis. Terdapat 216 ayat di dalam al-Qur’an yang menyebut
kewujudan makhlus halus antaranya di dalam surah Al - Baqarah ayat 14, 23, 24,
34, 36, 102, 168, 169, 208, 256, 257, 268 dan 275.
Di antara ruqyah (jampi) yang
sering menjadi amalan di kalangan masyarakat Melayu-Muslim bagi menghindari
gangguan syaitan dan jin adalah Ayatul Kursi di mana ayat ini sering diamalkan sebelum
tidur bagi menghindari gangguan syaitan dan jin semasa tidur. Surah al-Fatihah
juga merupakan salah satu ruqyah (jampi) yang sering diamalkan bagi mengubati
pelbagai jenis penyakit dan sebagai penerang hati. Begitu juga dengan surah Yaasin,
Basmallah, Surah al-Nas, Surah al-Falaq, alIkhlas serta zikir dan selawat ke
atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W yang mana diamalkan bagi tujuan yang sama
iaitu perawatan ke atas penyakit dan pelindung daripada gangguan jin dan
syaitan.
Pengamal-pengamal perubatan
Islam menggunakan ruqyah (jampi) sebagai mekanisma mereka merawat pesakit.
Mereka menggunakan ayat-ayat suci al-Qur’an dan perkataan-perkataan Nabi, Rasul
dan para sahabat Nabi sebagai ruqyah (jampi) semasa mengubati pesakit. Asas
kepada perubatan mereka adalah dengan memohon pertolongan dan petunjuk daripada
Allah S.W.T yang disertai dengan tawakal. Terdapat juga pengamal yang
menggunakan tumbuhan, haiwan dan galian sebagai ubatan yang diberikan kepada pesakit
selain memberikan rawatan fizikal. Ini dengan kepercayaan bahawa kehidupan
manusia dan persekitaran adalah saling bersandaran. Walau bagaimana cara
sekalipun, pengamal-pengamal ini masih menggunakan ruqyah (jampi) di dalam perawatan
mereka.
Sudah tentu, ruqyah (jampi)
adalah salah satu kaedah perubatan Islam. Ia mementingkan pengisian kerohanian
berbanding jasmani dalam rawatan dan pencegahan penyakit. Dengan perkataan
lain, ia lebih menekankan aspek rohani supaya kembali kepada fitrah manusia
iaitu pertaliannya dengan Pencipta Sekelian Alam iaitu Allah S.W.T. Ia menekankan
keyakinan bahawa hanya Allah S.W.T yang berkuasa untuk menyembuhkan sesuatu dan
berhak untuk menunaikan apa yang dihajati.
Diriwayatkan bahawa Abi
Khuzamah pernah bertanya Rasulullah SAW: “Ya Rasullullah! Bagaimana pendapatmu
tentang melafazkan kata-kata doa (ruqiyyah) untuk memohon kesembuhan, kami
bacakan ruqiyyah (jampi) itu dan tentang ubat yang kami pergunakan untuk
mengubati penyakit serta tentang kata-kata doa untuk mohon perlindungan dan
pemeliharaan (taqiyyah), lalu kami bacakan taqiyyah itu (untuk diperdengarkan kepada
Rasullullah SAW). Tidakkah hal itu bererti menolak takdir (ketentuan) Allah?
Maka Rasullullah S.A.W menjawab: Hal itu juga termasuk takdir Allah.” (Riwayat
Ahmad dan Tirmizi).
Perubatan Tradisional Melayu
Satu Warisan:
Warisan Perubatan Melayu ditulis
ketika perubatan tradisional Melayu berkembang dan diamalkan secara meluas di
kalangan masyarakat Melayu di Nusantara. Walau bagaimanapun, pengetahuan dan amalan
perubatan tradisional yang dimiliki oleh para dukun dan bomoh tidak
diterbitkan. Oleh itu, A. Samad Ahmad telah menyunting sebuah manuskrip lama
yang berjudul Ilmu Tabib bertarikh 1288/1872
yang telah disalin oleh
Muhammad Salleh Ibni Ahmad Penambang. Manuskrip tersebut adalah di antara yang
terpenting dalam bidang perubatan tradisional Melayu. Ia membicarakan kaedah perubatan
tradisional Melayu termasuk kaedah rawatan, penyembuhan dan pencegahan pelbagai
penyakit. Ini menunjukkan masyarakat Melayu sejak zaman berzaman telah
mengetahui khasiat tumbuhtumbuhan yang terdapat di sekeliling mereka.
Pengetahuan tentang perubatan
berdasarkan apa yang dibincang dalam buku ini bukan sahaja berguna kepada pakar
perubatan moden dan tradisional, tetapi juga orang ramai yang ingin mengetahui
ubat-ubatan Melayu tradisional.
Ilmu Tabib telah dituliskan
pada tahun 1288/1872. Ini menunjukkan bahawa ilmu perubatan tradisional Melayu
telah ditulis selepas kedatangan Islam ke Nusantara. Ini terbukti apabila isi kandungan
manuskrip tersebut dipengaruhi oleh sistem perubatan Islam dan amalan perubatan
Nabi terutamanya yang berkaitan dengan jampi dari ayat suci al-Qur’an, hadith
Nabi Muhammad S.A.W dan doa. Tidak terkecuali juga penggunaan beberapa mentera
dari kepercayaan Hindu, serapah dalam bahasa Thai dan Pegu (Burma) serta
tumbuhtumbuhan semulajadi turut dipraktik ketika ritual penyembuhan dijalankan.
Keberkesanan jampi diyakini akan kemujarabannya oleh masyarakat tempatan. Maka,
tidak hairanlah jika ia masih diamalkan sehingga ke hari ini terutama sekali apablia
ia dijadikan sebagai sebahagian amalan tradisi masyarakat Melayu Islam di
Malaysia.
Amalan Perubatan Melayu
Sebagai Satu Budaya:
Haliza Mohd. Riji dalam
bukunya Prinsip Dan Amalan Dalam Perubatan Melayu menganggap perubatan Melayu
sebagai satu budaya perubatan yang didasari kepada kepercayaan, pemikiran rasional
serta falsafah yang bersandarkan Islam dan pengalaman-pengalaman pengamal
perubatan tradisional Melayu.
Berbincangan dalam buku yang
tersebut di atas merupakan satu kajian ilmiah. Selain daripada datadata yang
diperolehi dari pesakit dan pengamal perubatan di Kedah dan Perlis, penulis
juga berkongsi pengalaman dan penglibatannya selama lebih 15 tahun dengan
bomoh, dukun dan bidan di Malaysia.
Bagi tujuan ini, penulis telah
mengguna tiga pendekatan dalam tinjauan penulisan mengenai penyakit dan perubatan
iaitu sosiobudaya, psikososial dan sosiologi. Hasilnya, selepas 15 tahun penglibatan
dalam bidang ini, penulis Berjaya mendalami pengamal perubatan tradisional
Melayu iaitu bomoh, dukun, bidan dan pawang dan dapat menerangkan perbezaan di
antara bomoh, dukun dan pawang. Sebelum membicarakan isu-isu penting dalam
perubatan tradisional Melayu, penulis menerangkan asal-usul perubatan
tradisional Melayu di mana penulis menyentuh tentang peranan Lukmanul Hakim,
seorang hamba Allah S.W.T, sebagai pencetus perubatan tradisional Melayu.
Seperti ilmuwan lain, beliau
turut menyatakan bahawa perubatan Melayu tradisional dipengaruhi oleh animisme,
ajaran Hindu-Buddha dan Islam. Memandangkan Islam merupakan agama akhir sampai
ke tanah Melayu berbanding Hindu dan Buddha, maka pengaruh perubatan Islam terutamanya
yang berkaitan dengan jampi (ruqyah) berjaya merubah falsafah perubatan Melayu
dari animisme kepada fahaman bersandarkan falsafah kehidupan Tauhidiyyah iaitu
kepercayaan kepada Pencipta, Allah S.W.T. Justeru itu, asas perubatan Melayu
ialah tauhid iaitu keyakinan tentang keesaan Allah dari segi zat, sifat dan
perbuatan-Nya.
Kecenderungan untuk berbincang
kaitan sihir, jampi dan ruqyah adalah jelas apabila penulis membincang mengenai
sihir di mana ia diletakkan sebagai faktor spiritual dalam etiologi penyakit
dan keuzuran. Penulis di antara yang terawal mendapati tiga jenis sihir
digunakan di alam Melayu iaitu sihir pendinding diri, penyebab penyakit atau
ilmu hitam dan sihir penyembuh. Tiga jenis sihir ini telah diIslamisasikan
apabila ruqyah dengan menggunakan ayat-ayat al-Qur’an dan do’a telah digunakan
oleh bomoh jampi. Ayat al-Qur’an dan doa adalah di antara penyembuh kebatinan
yang digunakan bagi tujuan penyembuhan penyakit penyakit yang disebabkan
faktor-faktor spiritual.
Walaupun penulis membuat dan
menjelaskan perbezaan di antara jampi dan doa antaranya ialah jampi melibatkan
perkataan yang bertujuan menggerakkan hakikat sesuatu manakala doa pula berupa
permohonan kepada Allah S.W.T agar perawatan yang dijalankan mendapat kejayaan,
tetapi saya (pengkaji) berpendapat perbezaan tersebut tidak ketara kerana
kedua-dua amalan iaitu jampi dan do’a mahu menggerakan hakikat sesuatu dengan
memohon restu dari Penyembuh (al-Shafi) iaitu Allah.
Perubatan dan Rawatan dalam
Tib Nabi:
Jalaluddin Abd al-Rahman
Al-Suyuti dalam Rawatan Cara Nabi Muhammad SAW
menghuraikan pelbagai jenis penyakit jasmani dan rohani serta
ubat-ubatnya yang diambil daripada alQur’an dan hadith Nabi Muhammad S.A.W.
Tentu sekali, seorang perlu menguasai ilmu keagamaan dan pelbagai ilmu tabi’i
termasuk perubatan sebelum membicarakan pelbagai jenis penyakit jasmani dan rohani
serta ubat-ubatnya kerana ia dapat membantu mengetahui dan menerangkan pelbagai
punca penyakit dan cara penyembuhannya berdasarakan alQur’an dan hadith Nabi
Muhammad S.A.W.
Memandangkan, pengetahuan
penulis tentang pengubatan bukan hanya bersifat akademik sahaja, bahkan ia
berdasarkan kepada praktik dan pengalaman yang cukup luas dalam bidang keagamaan
dan sains tabi’i. Tidak hairanlan, di awal bahagian buku ini, penulis berjaya
menerangkan tentang teori perubatan berasaskan falsafah perubtan Yunani dan
Islam di mana beliau menyentuh tentang susunan tubuh manusia yang di antaranya mengandungi
empat unsur iaitu api, udara, air dan tanah. Berdasarkan sususan ini, penulis
dapat mengenal pasti tentang keadaan tubuh manusia dalam keadaan sihat, sakit
dan tidak sihat tidak pula sakit; sebab-sebab penyakit dan tanda-tanda penyakit
seperti rambut yang berwarna hitam adalah tanda panas. Seterusnya penulis
menyentuh tentang cara penjagaan kesihatan termasuk apa yang perlu dilakukan
dan apa yang perlu dijauhi. Dalam buku ini juga terdapat pelbagai khasiat
ubat-ubatan yang terdiri daripada tumbuhan dan haiwan.
Mengikut langkah kajian
Jalaluddin Abd alRahman al-Suyuti dalam Rawatan Cara Nabi Muhammad SAW, maka
buku bertajuk Perubatan Mengikut Al-Qur’an Dan Sunah disusun oleh Abdul Aziz
Ismail dan ia merupakan satu usaha menghuraikan peranan al-Qur’an dan Sunnah sebagai
ubat bagi penyakit terutamanya kepada orang yang beriman. Abdul Aziz Ismail berpendapat,
al-Qur’an tidak boleh dijadikan penawar untuk menyembuhkan penyakit hati dan jiwa
orang-orang takabur, bahkan bagi orang munafik, hanya akan menambahkan penyakit
dan dosa. Ini adalah sebahagian antara rahsia dan hakikat sistem perubatan yang
dibincangkan dalam buku ini.
Jelas, bahawa buku ini
menerangkan tentang ilmu perubatan yang sudah lama diperkenalkan oleh masyarakat
Islam berdasarkan al-Qur’an dan Sunah Rasulullah (iaitu cara memelihara
kesihatan, mencegah timbulnya penyakit dan mengubati menghilangkan penyakit).
Signifikannya, penulis telah membicarakan ayat-ayat al-Qur’an dan hadith Rasulullah
S.A.W yang dapat dipraktik dan dijadikan sebagai amalan perubatan serta panduan
hidup seharian. Abdul Aziz Ismail tidak menghuraikan dengan jelas, walaupun
telah disokong dengan hadith Nabi, tentang pendapat beliau dalam buku yang
tersebut di atas. Beliau menyimpulkan, sekiranya masyarakat beramal dan cuba
untuk mendalami ilmu dari Kitabullah dan Sunah Rasul dengan baik, nescaya tidak
diperlukan pendapat orang lain, kerana sudah cukup untuk memperolehi sumber
segala ilmu apabila bermula dengan cara mengenal Allah S.W.T, mengetahui hukum-hakam
dan peraturan hidup sehingga pedoman untuk kesejahteraan diri bagi kehidupan dunia
dan akhirat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W: Aku tinggalkan kepada kamu
sesudah aku (wafat) dua perkara, yang jika kamu berpegang dan berpandukan
kepadanya nescaya kamu tidak akan terbatas daripada kebenaran iaitu Kitabullah
dan Sunah Rasul”. (Riwayat Imam Malik).
Di antara penjelasan yang
dibuat oleh penulis berdasarkan hadith di atas ialah Rasulullah S.A.W adalah
orang yang memahami masalah perubatan dan tidak dapat dinafikan bahawa sistem
pengubatan Nabawi adalah benar, tepat dan besar manfaatnya.
Sistem perubatan Nabawi
tidaklah sama dengan sistem pengubatan moden kerana pengubatan yang ditunjukkan
oleh Nabi Muhammad S.A.W berdasarkan wahyu Ilahi, keunggulan kenabian serta hasil
pemikiran yang paling sempurna, sedangkan pengubatan moden biasanya atau hanya
berdasarkan perkiraan, persangkaan dan percubaan.
Selain daripada itu, Abdul
Aziz Ismail, cuba menghuraikan ilmu perubatan Islam yang dipengaruhi oleh
perubatan Greek. Seperti dalam karya agong perubatan Islam, penulis dalam Perubatan
Mengikut al-Qur’an & Sunah menegaskan bahawa ubat hanya dapat menyembuhkan
penyakit sekiranya ia serasi dengan tubuh pesakit dan mempunyai keyakinan
terhadap ubat tersebut. Penerimaan ubat yang paling
sempurna adalah dengan iman
dan perasaan rendah diri di hadapan Ilahi. Al-Qur’an adalah sebagai ubat
bagi penyakit. Jika ia tidak
dilandasi oleh iman dan kesediaan merendahkan diri di hadapan Allah S.W.T, ia
tidak akan dapat menyembuhkan penyakit hati dan jiwa. Penulis telah
memperkukuhkan keterangan mengenai pengubatan secara berdoa dengan ayat-ayat
al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi S.A.W dengan mengemukakan surah al-Israa’ ayat
82 yang bermaksud: Dan kami menurunkan al-Qur’an menjadi ubat penawar dan rahmat
bagi orang yang beriman dan al-Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang yang
zalim (melanggar perintah Allah) melainkan kerugian.
Menurut penulis lagi, ilmu
kedoktoran moden berbeza dengan sistem kedoktoran dan pengubatan yang terdapat
dalam perubatan Nabi S.A.W terutamanya yang berkaitan dengan pengubatan rohaniah.
Penulis berpendapat, kekuatan hati, berpegang teguh kepada petunjuk Allah,
bertawakal, meminta perlindungan kepada Allah, merasa hina dan kecil di
hadapanNya, bersedekah, tidak terbenam dalam penyesalan dan lepas dari rasa
susah dan bimbang adalah di antara pra-syarat pengubatan rohaniah.
Perubatan Islam Dan Bukti
Sains Moden oleh Danial Zainal Abidin telah membuktikan perubatan Islam secara
saintifik dengan mengemukakan penemuan-penemuan sains semasa, baik yang dihasilkan oleh ahli-ahli sains Islam mahupun
bukan Islam. Selaras dengan tajuk buku beliau, penulis menegaskan bahawa
sememangnya ramai yang meyakini Islam sebagai satu agama yang tiada tolok bandingannya
tidak mampu untuk membuktikan keunggulan tersebut dalam senario dunia sekarang yang
sering memperkatakan tentang sains dan teknologi. Justeru itu, Islam dilihat
oleh mereka yang bukan beragama Islam sebagai suatu agama yang beku dan tidak
berkembang serta dilihat sebagai tidak sesuai dengan dunia yang serba canggih
pada hari ini. Hakikatnya konsep perubatan yang terdapat di dalam al-Qur’an dan
sunnah adalah untuk diikuti oleh manusia sejagat.
Selepas menerangkan konsep
perubatan Islam, penulis seterusnya menerangkan mengenai kebaikan tumbuhan dan
haiwan yang tercatat dalam al-Qur’an dan larangan-larangan yang perlu dijauhi
oleh umat Islam bagi tujuan pemeliharaan kesihatan beserta dengan kajian dan
bukti saintifiknya. Di sini, penulis menyarankan supaya umat Islam pada hari
ini perlu memberi fokus mendalam dalam bidang penyelidikan dan pembangunan
supaya rahsia-rahsia al-Qur’an dan sunnah dapat difahami. Menurut penulis, umat
Islam sebenarnya adalah umat yang saintifik kerana acuan pendidikan Islam amat menekankan
konsep tafakur, penggunaan akal serta minda, penolakan sebarang bentuk khurafat
dan
tahayul di samping
menggalakkan kajian dan analisis. Acuan inilah berjaya melahirkan ramai ahli sains
Islam seperti Ibn Sina, al-Razi, Ibn Nafis, alZahrawi dan Khwarizmi.
Ayat al-Qur’an dan Doa Sebagai
Pagar Hikmah: Pagar Hikmah oleh Abdul Razak Kasman (Tok Janggut)
adalah di antara panduan atau
rujukan utama dalam rawatan, pencegahan dan penjagaan daripada penyakit serta
harta benda melalui ruqyah kepada masyarakat Melayu di Nusantara. Penulis merupakan
pengamal perubatan tradisional yang popular dan terkenal serta berpegalaman
luas dalam hal ehwal kebajikan masyarakat tempatan. Beliau, yang dikenali
dikalangan masyarakat tempatan sebagai orang bersikap mulia dan budi pekerti
serta baik dan luhur, telah berjaya mengumpul hikmah yang amat berguna bagi
masyarakat Melayu-Muslim Nusantara selepas melibatkan diri dalam rahsia pendinding
diri dari gangguan syaitan, Jin dan manusia berjiwa Hayawaniyyah selama hampir
40 tahun. Sebagai ketua kampung, beliau telah banyak menyelesaikan masalah
masyarakat tempatan berkaitan dengan gangguan makhluk halus.
Pagar Hikmah merupakan panduan
mengenai ruqyah (jampi) melalui ayat-ayat al-Qur’an dan do’a dan telah
dibukukan di atas permintaan masyarakat tempatan. Kewajipan tersebut telah
ditunaikan oleh pengarang selepas hajat murid-murid beliau yang berkehendak
supaya beliau menerbitkannya. Selain
daripada itu, jasa serta
kedalaman ilmu agama yang dimiliki serta sumbangannya bukan sahaja kepada
masyarakat tempatan malahan
juga kepada masyarakat di Patani, Thailand serta Tanah Suci Mekah, maka
tercetuslah idea untuk menerbitkan buku ini sebagai panduan hidup masyarakat
dalam menangani masalah yang dihadapi.
Dalam Pagar Hikmah, penulis
menasihatkan supaya pengamal perubatan tradisional mempunyai semangat
keberanian serta ketabahan menghadapi kuasa ghaib yang menjelma dan menjadikan seseorang itu lebih berusaha untuk mendalami
ilmuilmu serta amalan-amalan yang dapat dijadikan sebagai pendinding diri.
Kuasa-kuasa seperti ini sering dikaitkan dengan kekuatan atau pengaruh amalan
batin. Ada sesetengah amalan batin yang tidak bercanggah dengan ajaran agama
dan ada juga sebaliknya. Maka disebabkan ini, penulis menasihatkan supaya
masyarakat sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan yang tiba walaupun hidup di
zaman yang serba canggih dan moden dengan
kemajuan sains dan teknologi.
Jampi Serapah dalam Mantera
Melayu: Haron Daud dalam bukunya yang bertajuk Mantera Melayu: Analisis
Pemikiran menggunakan pendekatan mantera sebagai bahan sastera untuk mengenal
pasti pandangan semesta dan corak pemikiran masyarakat Melayu. Untuk mencapai objektif
kajian, penulis mengumpulkan manteramentera dari negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Menurut penulis, sejarah kewujudan mantera memang sukar diketahui dengan tepat walaupun
ada pendapat yang mengatakan bahawa mantera lahir sejak terbentuknya
masyarakat. Tidak salah untuk mengatakan, kewujudan mantera dalam masyarakat
Melayu adalah berdasarkan corak kepercayaan mereka pada peringkat awal iaitu animisme
dan cara hidup bersederhana. Ini telah dimantap selepas kedatangan pengaruh
HinduBuddha dan Islam ke alam Melayu yang mana ia merupakan penyebab terjadinya
proses evolusi
dalam masyarakat dan budaya
Melayu yang turut mempengaruhi corak kepercayaan mereka. Penulis menyatakan
bahawa kepercayaan warisan mempengaruhi alam pemikiran orang Melayu.
Kepercayaan ini juga menjadi
asas kepada worldview, iaitu tentang bagaimana mereka memandang dunia di
sekeliling mereka. Walaupun Islam memainkan
peranan penting dalam pemikiran rasional, namun tradisi tetap penting
sebagaimana yang terpancar melalui mantera. Aspek-aspek pemikiran itu lebih
bercorak normatif rasionaliti yang banyak melibatkan soal spiritual.
Bomoh sebagai Raqi dalam
Rawatan Melalui Ruqyah di Malaysia: Hashim Awang A.R. dalam artikelnya yang
bertajuk Bomoh Di Kelantan: Dahulu Dan Sekarang memberi tumpuan khusus kepada
peranan bomoh di Kelantan dalam konteks masyarakat tradisi dan masyarakat
moden. Selain daripada, penerangan tentang asal-usul bomoh, jenis-jenis bomoh
serta perkhidmatan dan peranan bomoh di Kelantan, beliau menceritakan sejarah kedatangan
perubatan moden ke dalam masyarakat Kelantan iaitu sekitar awal abad ke-20
apabila hospital dibina dan pegawai perubatan dihantar oleh pihak British untuk
bertugas di negeri Kelantan.
Dengan perkembangan ini
lama-kelamaan perubatan moden menjadi kukuh di Kelantan. Walau bagaimanapun,
perubatan tradisional tidak terus dilupakan kerana ia merupakan sesuatu yang
telah sebati dengan jiwa mereka. Dalam hal ini, perubatan tradisional cuba
diadaptasikan dan mengalami perubahan mengikut keperluan semasa dengan menolak
amalan-amalan atau unsur-unsur yang bertentangan seperti upacara atau
kepercayaan karutmarut disaring dan dipinggirkan. Penyaringan sebeginilah yang
menjadikan perbomohan di Kelantan dapat dipertahankan sehingga kini.
Menurut penulis lagi,
pengekalan aktiviti perbomohan ini juga dipengaruhi oleh kemujaraban perubatan
moden yang tidaklah 100 peratus berkesan dan masih ada kelemahan serta tidak mampu
mengatasi segala masalah yang berkaitan dengan kehidupan.
Bomoh-Poyang: Traditional
Medicine And Ceremonial Art Of The Aborigines Of Malaysia oleh Roland Werner merupakan
di antara kajian secara komprehensif mengenai perubatan tradisional orang Asli
di Malaysia di mana bomoh dan pawing memainkan peranan yang penting dalam
perubatan masyarakat tersebut. Penulis mendapati masyarakat orang Asli mempercayai
setiap penyakit adalah berpunca daripada gangguan hantu. Berdasarkan hakikat
ini, penulis telah menyentuh tentang upacara perawatan dan pemujaan untuk
makhluk halus di samping beberapa buah mantera yang digunakan oleh masyarakat
tersebut.
Transcultural Healing oleh
Roland Werner, membicarakan pelbagai aspek rawatan tradisional terutamanya yang
berkaitan rawatan dan pencegah penyakit dalam perubatan tradisional Melayu.
Dalam usaha mencapai matlamat
tersebut, penulis telah mengumpul bahan yang berkaitan tradisi perubatan bukan
hanya dari agama Islam, Kristian, Hindu, Buddha dan Yahudi tetapi meliputi system
kepercayaan dan adat masyarakat tempatan. Buku ini amat sesuai dijadikan
rujukan bagi pengkaji, pengamal perubatan tradisional dan moden. Ia juga berguna
kepada ahli antropologi dan sosiologi yang
mahu mengetahui dan mendalami
perubatan sebagai sistem teknosaintifik berteraskan budaya dan juga
kepercayaan.
Royal Healer oleh Roland
Werner membincangkan secara ilmiah pelbagai sejarah, bahasa, astrologi,
biologi, zoologi, mineralogi, dan yang paling penting ialah aspek keagamaan
dalam agama Hindu-Buddha dan Islam, yang berkaitan dengan perubatan dan rawatan
penyakit. Penulis berkata: “Illness/disease can be caused by any of the
spirits. The good forces may also cause illness or disease as a form of
punishment for an offender.” “The healer is the medium who pleads with the spiritual/supernatural
powers. Whichever spirit (good or bad) is responsible for the illness or
disease is called upon to heal or cure it. The healer thus negotiates with both
good and bad powers.”
Sejalan dengan petikan ini,
penulis dalam mukadimah menyatakan: “In order to provide a more systematic
examination, I have reorganized and structured the material into new chapters, e.g.
Comparative Animal and Human Anatomy, Physiology, Pathology, Diagnosis, Types
of Treatment, Register of Medicinal Plants, Sociocultural, Religious and
Spiritual Concepts, Physiognomy, Astrology, Interpretation of Dreams, Qur’anic Verses
and Prayers, Virtues of the Bismillah/Kalam Allah, Miracles, Talismans and
Socio-Cultural Principles in the building of Houses (choice of site, specific
structural aspects and impact upon people). I have also contributed comments to
various topics based upon Islamic cosmological doctrine and natural philosophy.”
Mohd. Taib Osman dalam bukunya
bertajuk Malay Folk Beliefs: An Integration Of Disparate Elements mengaitkan
kepercayaan masyarakat Melayu dengan pengaruh Hindu-Buddha dan Islam di mana
pengaruh ini masih wujud dalam amalan mereka terutama sekali pengaruh Islam
sebagai dominasi utama.
Keberkesanan Berdoa (Prayer)
sebagai Penyembuh Penyakit: The Importance of Prayer for Mind/Body Healing oleh
Madeline M. MaierLorentz menerangkan tentang keberkesanan berdoa (prayer) dalam
penyembuh penyakit. Penulis mengharap agar pesakit senantiasa berdoa (prayer) untuk
meyembuh penyakit disamping turut menggalakkan para doktor dan jururawat supaya
berdoa (prayer) disamping berusaha secara bersungguh-sungguh dengan menggunakan
pelbagai kaedah rawatan dalam rawatan penyakit mereka.
Penulis juga mencadangkan agar
para doctor dan jururawat dapat memberi saranan kepada pesakit supaya berdoa
(prayer) dengan mengenepikan sikap diskriminasi di antara pesakit yang
berlainan kepercayaan agama. Tidak dinafikan selepas pelbagai penyakit misteri
muncul, maka ramai pesakit telah menerima perubatan ini dan berharap ia dapat
diintegrasi ke dalam sistem rawatan, penjagaan dan pencegahan penyakit
kesihatan tempatan. Dengan perkataan lain, minat masyarakat terhadap penggunaan
doa (prayer) dalam penyembuhan minda atau jasad adalah mendalam dan berkembang
sebagai salah satu perubatan alternatif dan komplimentari. Ini kerana doa (prayer),
yang melibatkan fungsi mental dan meditasi,
dapat memberi kesan secara fizikal kepada tubuh badan seperti merendahkan kadar
pernafasan, hati, tekanan darah dan suhu kulit serta ia juga dapat memberi
kesan positif bagi meringankan kesakitan, rasa loya, muntah dan insomnia. Walau
bagaimanapun, terdapat pihak-pihak yang mengkritis penyembuhan secara berdoa
ini (prayer) dengan mendakwa bahawa ia tidak dapat diukur.
Oleh itu, ia tidak boleh
dijadikan suatu kesimpulan yang saintifik.
Himpunan doa atau panduan
perubatan berjudul Doa-Doa Orang Sakit Dan Mendapatkan Zuriat telah disusun oleh pakar sakit puan
moden iaitu A. Hamid Arshat, Rosliah
Harun dan Shafiee Khatib Jali.
Ia merupakan panduan ringkas diterbitkan
untuk memberi panduan kepada pesakitpesakit dan kepada pasangan-pasangan
kelamin yang menghadapi masalah untuk mendapatkan zuriat (anak). Berdasarkan
kepada hakikat bahawa, setiap penyakit ada ubatnya melainkan penyakit tua yang mana
manusia tidak dapat mengelakkannya dan Allah S.W.T menyuruh hamba-hamba-Nya
mencari ubat bagi menyembuhkan penyakit-penyakit mereka, maka penyusun telah
mengambil inisiatif menghimpunkan pelbagai doa sebagai alternative dalam
rawatan perubatan moden.
KESIMPULAN
Makalah ini boleh dijadikan
panduan kepada penyelidik dalam bidang yang berkaitan perubatan tradisional
kerana penyelidikan mengenainya terutamanya berkaitan ruqyah (jampi) agak berkurangan.
Tidak dinafikan buku-buku dan
artikel yang telah diulas dalam makalah
ini mencerminkan budaya dan pandangan semesta masyarakat Melayu dalam
perubatan. Mereka seperti masyarakat primitive lain secara tradisinya
berfahaman animisme dandinamisme iaitu kepercayaan kepada tenaga dan kekuatan
roh, jiwa dan semangat terjelma dalam diri manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan,
benda-benda yang boleh mendapat kesan baik atau buruk kepada manusia. Selalunya,
kelompok masyarakat ini mempercayai wujudnya makhluk ghaib yang boleh mengganggu
dan menakutkan mereka. Berdasarkan
kepada tulisan yang disebarkan
dalam masyarakat Melayu terutamanya selepas kedatangan Islam, menunjukan telah
berlaku proses Islamisasi yang dapat mengubah bentuk kepercayaan dan corak hidup
masyarakat Melayu serta pandangan semesta mereka. Kepercayaan kepada dewa dan animism
bertukar kepada kepercayaan Allah S.W.T dan RasulNya.
Didapati majoriti responden
menggunakan ruqyah (jampi) seperti yang telah dinyatakan dalam kenyataan di
atas. Ini menunjukkan keyakinan mereka terhadap ruqyah berkenaan untuk menyelesaikan
masalah yang dihadapi oleh mereka dari segi perubatan juga sebagai pendinding
diri, keluarga dan harta benda. Tambahan pula, keyakinan mereka ini didorong
oleh pandangan semesta yang pernah mereka anuti dahulu berhubung semangat jahat
yang wujud disekelliling mereka. Sehubungan itu, untuk menangani semangat jahat
ini, kuasa semangat dari ayat-ayat al-Qur’an digunakan. Keberkesanan
menggunakan ayat-ayat al-Qur’an adalah didorong dengan semangat pengamalnya
yang disertakan dengan keyakinan kepada kekuasaan Allah S.W.T. Ini menunjukkan bahawa
ruqyah (jampi) melalui ayat al-Qur’an tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan
masyarakat Melayu-Muslim
ULASAN AKU:
BILA KEBERGANTUNGAN KITA KEPADA APAPUN SELAIN ALLAH, TAK KIRA RUQYAH KE, POKOK KE, TUMBUHAN KE, AYAT MANZIL KE, AL MATHURAT KE... KELAUT DAH TU....
TAK SALAH IKHTIAR, TAPI MINTA IZIN ALLAH DULU UNTUK GUNAKAN AYATNYA, KALAU TAK MINTAK IZIN, SELALUNYA JIN YG TOLONG SECARA KITA TAK SEDAR.... NI GUNA AYAT RUQYAH DAH DAPAT IZIN BELUM NI???? KALAU RAWAT GANGGUAN JIN GUNA RUQYAH, MANZIL, MATHURAT ATAU YG SEANGKATAN DENGANNYA, TAPI TAK MINTAK IZIN TUAN PUNYA AYAT(ALLAH).... TU YG TAK SETEL SETEL TU....
KAN BAGUS MINTA BANTUAN ALLAH JE....
No comments:
Post a Comment